Sep 25, 2012

Terus Memberi, Teruslah Berjalan...



Artikel ini adalah catatan di blog pertama saya, Re-engineering Islamic Building. Ada sesuatu yang menyebabkan saya terdorong untuk membaca dan 'post' tulisan ini di sini. Saya berharap ia menjadi inspirasi untuk saya terus memberi, menerima dan mencipta kepuasan melalui medan dakwah yang namanya 'tulisan'. Penulisan - pelangi yang hanya mempunyai dua warna iaitu hitam dan putih.



Majalah Solusi memberi inspirasi kepada saya untuk menulis kali ini. Isu No. 14 di bawah tajuk ‘Hidup Untuk Memberi’ sekaligus mengenderai fikiran saya kepada tagline Saifulislam.Com ‘Erti Hidup Pada Memberi’.

Ustaz Hasrizal seorang penulis yang menjadikan kita sebahagian daripada kehidupan beliau. Justeru, beliau berkongsi cerita, pengalaman, pandangan dan kritikan dalam tulisan beliau. Ia suatu proses memberi tahu dan membina faham. Kita sebagai pembaca blog beliau terasa hidup telah dimurnikan dengan sifat memberi ilmu yang tinggi nilai harganya.

Begitu juga dengan saya dan anda. Kita memberi sesuatu kepada orang lain kerana mereka adalah sebahagian dari kehidupan kita. Kehidupan mereka dilengkapkan oleh kita sebagai pemberi dan kehidupan kita dilengkapkan oleh mereka sebagai penerima. Setiap orang menjadi pelengkap dengan tema “kita saling memerlukan”.
“We make a living by what we get but we make a life by what we give.” - Kita membina hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan.


Belajar Memberi

“Kenapa Sayang senyum-senyum je ni?,” tegur suami ketika mengambil saya pulang dari usrah semalam.

Suami melihat saya tidak henti senyum-senyum sejak naik kereta sehingga berhenti makan di Restoran Taqwa. Jam di tangan menunjukkan pukul 12.00 malam. Saya tidak sempat memasak malam tadi dan Restoran Taqwa ialah tempat perhentian perut yang paling romantik! Tidak pasti di mana romantikanya. Mungkin pada namanya iaitu Taqwa.

Saya mempunyai dua perasaan hingga senyuman tersebut meleret ke larut malam. Pertama, keseronokan dan kedua, kepuasan. Dua perasaan hebat yang dirasai sesiapa sahaja selepas amalan memberi. Amalan itulah yang dibina dalam diri kami malam tadi.

Semasa usrah malam tersebut, saya menukar rutin usrah daripada diskusi buku kepada dua modul latihan kepimpinan. Modul pertama saya namakan ia sebagai ‘Public Speaking Spontan’ dan kedua ‘Muhasabah Teman’.

Public Speaking Spontan ialah satu modul latihan komunikasi. Rata-rata antara kami agak malu dan segan-segan. Mereka yang selalu bersuara dalam usrah dan mesyuarat adalah orang yang biasa didengari suaranya. Meskipun begitu, saya percaya semua sahabat saya mempunyai pandangan dan idea penting. Cuma tidak beroleh kekuatan dalaman untuk melontarkan idea tersebut untuk sama dipandang penting oleh orang lain.

Dalam modul tersebut, saya menjemput 6 orang ke hadapan audien. Setiap orang diminta mencabut satu tajuk yang tidak diketahui. Mereka diminta melakukan pengucapan awam secara spontan manakala sahabat lain akan memerhati atau memberi maklum balas. Selesai pengucapan tersebut, beberapa orang diminta memberi kritikan akan kelemahan dan kekuatan pengucap.

“Tengku asik goyang-goyang ke kiri dan ke kanan masa bercakap,” tegur salah seorang sahabat. Tengku bercerita tentang semut.

“Kalau boleh Zulaisyah elakkan daripada tangan masuk dalam poket sweater ketika bercakap di hadapan,” nasihat Kak Ju. Zu mendapat tajuk isu semasa.

“Fidah macam pemidato dan pendebat,” komen saya terhadap motivasi yang disampaikan melalui tajuk ‘Malas, Penakut dan Kedekut dalam Perjuangan.’

Melalui modul tersebut, pengucap memberi motivasi. peringatan, penerangan, idea dan ilmu tanpa disangka-sangka mereka mampu melakukannya. Manakala sahabat yang mengkritik pula memberitahu, memberi pandangan, menasihati dan menegur bagi memperbaiki kekurangan.

Asalnya ia adalah latihan komunikasi, manfaat darinya ialah latihan memberi. Memberi ilmu dan berkongsi apa yang kita tahu. Salah satu sebab saya mempraktikkan latihan ini kepada sahabat usrah adalah agar mereka belajar untuk memberi.

Memberi ilmu memerlukan komunikasi. Tanpa bercakap, ilmu tidak sampai kepada pendengar. Tanpa menulis, ilmu tidak sampai kepada pembaca. Tanpa meluahkan, orang tidak mengetahui apa yang kita rasa. Hatta, orang bisu perlu mencipta komunikasi baru untuk saling berhubungan. Mulanya kekok namun ia boleh dibentuk.

Berilah apa sahaja walaupun ia kecil dan remeh. Paling utama dilakukan dahulu ialah belajar untuk memberi. Kemahiran itu boleh dipupuk kemudian. Semangat ingin memberi akan membuang sifat malu, segan, rendah diri sejauh-jauhnya. Dalam hal ini, saya menyentuh aspek memberi tahu dan memberi ilmu

Akhirnya, renunglah kata bijak pandai, “No man becomes rich unless he enriches others” – tidak ada orang yang boleh menjadi kaya hingga ia “mengayakan” orang lain. Kaya bukan sahaja dari sudut material, malah dari sudut ilmu, iman dan takwa. Orang yang paling berilmu, beriman dan bertakwa ialah orang yang membawa orang lain berilmu, beriman dan bertakwa sama.

Ia bermula dengan proses memberi!.

No comments:

Post a Comment