Oct 4, 2012

"I LOVE TEKNIK NABI MUHAMMAD"






“Siapakah antara kamu yang berasa seronok untuk mengikuti slot malam ini?”

Saya mula bertanya selepas memperkenalkan diri.

Semua peserta mengangkat tangan. Ada yang menutur perlahan “Saya...” sambil mengangkat tangan dan jari telunjuk di hala ke atas.

“Siapakah antara kamu yang apabila dia masuk ke dewan ini, dia senyum kepada ustaz dan ustazah?”. Saya melanjutkan pertanyaan.

“Saya...”, jawab mereka. Tangan di angkat lagi buat kali kedua.

Saya terus bertanya, “Siapa yang senyum dan berbual tentang program petang tadi bersama rakan sebelah?”

Keadaan yang sama berlaku. Mereka mengangkat tangan lagi sambil menyebut “Saya...”

“Siapa antara kamu, apabila masuk ke dalam dewan ini, duduk elok-elok, duduk sopan-sopan dan bersedia?”. Soalan terakhir.

“Saya....”, kata mereka. Kali ini sebutannya lebih kuat, tangan diangkat lebih yakin dan berani.

“Perbuatan yang kamu lakukan tadi adalah perbuatan yang baik. Semua itu adalah ciri-ciri perilaku pelajar yang berakhlak. Allah akan memberi ganjaran pahala terhadap akhlak kamu yang suka ke program ilmu, senyum kepada rakan dan guru, bertanya khabar dan duduk dengan sopan di majlis seperti ini.”

“Saya percaya bahawa semua pelajar yang menjadi peserta program ini, pelajar yang berada di hadapan saya ini adalah pelajar yang berakhlak. Lihat cara duduk dan tumpuan yang diberikan tadi telah meyakinkan saya, pelajar Kafa Putra memang pelajar yang baik dan cemerlang,” ujar saya lagi.

Mereka tersenyum, wajah berseri. Saya bertanya soalan-soalan mudah berkaitan akhlak supaya semua pelajar akan mengangkat tangan. Tidak seorang yang berkecuali daripada senarai kebaikan yang ditanya tadi. Kemudian, saya memuji tindakan mereka dan menyatakan kesan kebaikan tersebut.

 

Dalam hal ini, saya telah cuba membuka suis ‘penghargaan terhadap diri ’ di awal ceramah. Tindakan pertama adalah menaikkan self-esteem peserta melalui ‘Teknik Semua Pelajar Angkat Tangan.’

Individu yang memiliki self-esteem tinggi akan berasa seronok dengan diri sendiri. Sebaliknya, individu yang memiliki self-esteem rendah berasa tidak seronok dengan diri sendiri. Seterusnya, mereka akan  seronok dan suka dengan orang yang telah menjadikan mereka seronok.

Ketika kanak-kanak berasa aman dan dicintai, mereka memiliki self-esteem (penghargaan terhadap diri) yang sihat, kepercayaan diri yang kuat dan terdorong menggunakan kekuatan kreatif. Mereka akan berasa berbeza dan unik.

Oh, saya rasa malas mahu menulis panjang di sini. 

 klik (sini)

Dalam eBook ini, ada diterangkan dengan lebih lanjut tentang ‘Teknik Semua Pelajar Angkat Tangan’. Fungsi utama teknik tersebut adalah meningkatkan self-esteem pelajar terutama pelajar corot-akhlak dan corot-akademik. Lazimnya, kedua-dua kategori pelajar ini memiliki self-esteem rendah.

Ketiga-tiga guru yang menjadi penulis eBook ini iaitu saya, PuanKhairulaniza dan Ustazah Siti Khadijah telah menceritakan bagaimana teknik ini diamalkan dalam bilik darjah. Ibu bapa juga boleh mengadaptasi pengalaman kami dalam bilik darjah untuk dipraktikkan kepada anak-anak di rumah.

Kami menceritakan prinsip berdasarkan hadith, teknik yang digunakan, impak kepada pelajar setelah guru mengamalkan teknik itu dan teks ucapan guru yang boleh ditiru oleh pembaca.

Islam agama yang memudahkan. Nabi menunjukkan cara yang mudah-mudah. Jika anda bersetuju dengan saya, katakan "I LOVE TEKNIK NABI MUHAMMAD"...

Oct 2, 2012

Sejenak Bersama Alhamdulillah


 

 kredit foto: facebook: dakwah design

"Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin!"

Ucapan itu adalah terjemahan rasa syukur yang tulus. Ia hadir daripada manusia yang merasa dirinya sentiasa mendapat perhatian dari Allah. “Alhamdulillah” yang meluncur dari lisan yang basah, juga merupakan ekspresi kekaguman seseorang apabila melihat perhatian Allah sangat tinggi kepada seluruh makhluk-Nya.

Allah, Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dia membuka pintu rezeki untuk seluruh makhluk tanpa meminta mereka membayar atau menggantikan dengan sesuatu yang lain. Dia juga mengajak manusia untuk meniti jalan kenikmatan tanpa batas ke Syurga-Nya.

Membaca, menterjemah, menonjolkan kekaguman dan mengembangkan nikmat bukan pekerjaan mudah. Kecenderungan manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang diterima dan dimiliki, adalah penghalang utama merasakan nikmat. Apabila dikurniakan nikmat kesenangan, dia mengambil aksi diam. Apabila ditimpa musibah, lidahnya lancar bertutur nada kesal dan jiwanya keluh-kesah.

Memang arif pepatah Arab mengatakan, 
"Katsratul misaas tudzhibul ihsaas" - terlalu banyak merasa, menghilangkan citarasa.

Kemampuan Membaca Nikmat

Menjadi hamba yang bersyukur bermula dengan kemampuan membaca nikmat. Apabila mampu membaca nikmat, terbentuk ekspresi kekaguman hati terhadap perhatian Allah. Seterusnya, lidah akan lembut memuji dan bertasbih kepada Ar-Rahman sebagai apresiasi lisan. Akhirnya, tubuh akan berkerja keras menterjemah dan mengembangkan nikmat. Selanjutnya, sebagai makhluk yang hidup bermasyarakat, syukur dilatih dengan berbagi nikmat yang kita dapat.

Setinggi mana potensi dan kehebatan seseorang, Allah tetap menjadi tempat pergantungan. Kekuatan muhasabah di penghujung hari adalah kemampuan membaca nikmat yang diperolehi hari ini untuk meningkatkan kualiti diri hari esok. Seseorang yang mengetahui apa sahaja nikmat Allah yang hadir kepadanya, akan, merasakan ada sesuatu yang baru dan indah menjengah jendela hidupnya saban waktu.

Dalam Surah Ibrahim, ayat 7, Allah menyatakan:
"Sekiranya kamu bersyukur, pasti Kami menambah (nikmat) kepadamu..."

Kuasa seseorang adalah perasaan yang mereka letakkan dalam kata-kata kesyukuran. Bersyukur dapat menukar energi kita daripada  negatif kepada positif. Ia bermula dengan perasaan berbaik sangka dengan Allah. Dia adalah Tuhan yang tidak akan membiarkan makhluk-Nya hidup sia-sia. Akhirnya, ungkapan pujian dan tasbih kepada Allah menarik ketenangan dan kebahagiaan.